Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
Dr Azman Ibrahim. |
Oleh : Hidayah Azlin
BESUT, 19 Januari – Masalah bekalan baja padi yang dibangkitkan para pesawah sudah diberi perhatian dan berada dalam perhatian Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk tindakan segera.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, permasalahan yang sudah berlarutan selama dua musim berturut-turut itu berlaku kerana proses bekalan Skim Bantuan Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBBPKP) tidak berjalan dengan lancar.
Katanya, IADA Ketara merupakan antara kawasan yang agak terjejas dengan isu tersebut dan menyebabkan penanam padi berdepan masalah lain.
“Padi di Kawasan Besut sudah perlu ditabur baja untuk kali yang pertama. Pesawah masih menunggu bekalan baja yang masih tak kunjung tiba.
“Semoga pihak NAFAS dapat menyelesaikan isu berkaitan seberapa segera dan bekalan baja sampai kepada pesawah kita,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menegaskan, kepentingan dan bebanan yang ditanggung para petani sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.
“Berhadapan dengan isu ini, kepentingan petani adalah keutamaan kita. Saya juga telah panjangkan isu ini kepada pihak LPP supaya proses tindakan lanjut dapat dijalankan dengan segera.
“Kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk bersama membantu apa yang perlu demi manfaat rakyat kita, kita akan cuba usahakan sebaik mungkin apa yang terdaya,” tambah beliau.
Untuk rekod SBPKP adalah bantuan yang diberi oleh kerajaan kepada penanam padi yang bertujuan meringankan kos ditanggung pesawah dalam penanaman padi.
Dalam masa yang sama ia dijangka mampu memastikan kelestarian pengeluaran padi dan beras negara.
Dari sudut pengurusan SBPKP, LPP sebagai agensi pelaksana sentiasa memantau kesemua 198 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang berperanan sebagai pengedar baja subsidi agar mematuhi manual pelaksanaan atau pun prosedur operasi standard (SOP) SBPKP.