Masalah Petani Telaga Nibong Temui Penyelesaian

KUALA LUMPUR, 17 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, telah mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah yang dihadapi petani yang menanam padi di Kawasan Pertanian Air (KPA) Gong Lawang, Telaga Nibong kesan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk  Seri Darwish Abdul Razak, serta wakil daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (IADA KETARA), Ketua Jurutera Projek, Encik Ahmad Tarmizi, di Pejabat CEO MRL SDN BHD, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Hasil perbincangan ini telah membawa berita baik kepada para petani yang terjejas. Masalah mereka telah mendapat perhatian serius dan menemui jalan penyelesaian yang akan dilaksanakan secepat mungkin ini merupakan berita baik buat petani yang terlibat," ujarnya.

 

Dalam pada itu katanya Datuk Seri Darwish juga telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan kunjungan ke Hulu Besut.

"Kunjungan ini amat dialu-alukan dan dijangka akan memberi keutamaan pekerjaan kepada penduduk sekitar apabila Projek ECRL siap kelak.

"Ini adalah langkah positif yang diambil  dalam memastikan kepentingan dan kesejahteraan petani terus terjaga," ujarnya.