Mayat Bayi Malang Ditemui Di Hutan

Pasukan penyiasat sedang memeriksa mayat bayi lelaki yang ditanam di sebuah hutan kecil.
Seorang lelaki tidak menyangka bahawa  timbunan tanah yang digalinya ketika melalui sebuah hutan kecil berhampiran gudang milik kakaknya di Kawasan Perindustrian Santong, awal pagi tadi merupakan satu mayat bayi lelaki cukup sifatnya.

Mayat bayi malang itu ditemui kira-kira jam 7.30 pagi oleh Jafmi Mohd, 32, yang secara kebetulan melalui kawasan itu untuk memasuki gudang kerana pintu hadapannya berkunci.

Jafmi Mohd
Jafmi berkata, dia datang ke gudang milik kakaknya itu untuk membuat pemeriksaan tetapi tiada pengawal keselamatan yang menjaganya dan pintu berkunci.

Dia menemui sebuah beg sukan berhampiran kesan tanah yang masih merah di dalam hutan tersebut.

"Saya pelik tengok ada beg berwarna biru  dan tanah berhampiran kelihatan seperti baru digali dan ditanam benda di dalamnya.

"Saya masuk ke dalam gudang untuk mengambil cangkul dan terus menggali.

"Selepas menggali, saya menemui satu bungkusan yang  dibalut dengan kain putih dan plastik berwarna biru.

"Apabila diangkat, saya melihat sepasang kaki dan tangan terkeluar dari bungkusan itu," katanya.

Katanya, dia langsung tidak menyangka objek yang ditemui tertanam sedalam kira-kira satu kaki itu adalah mayat seorang bayi dan terkedu sebelum bertindak menelefon pihak polis bagi memaklumkan berkenaan penemuan tersebut.

Menurutnya, ini merupakan kejadian yang pertama kali baginya dan tidak menyangka dan sedih kerana ada pihak yang sanggup berbuat demikian terhadap bayi.

Anggota polis sedang membawa mayat bayi malang tersebut untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi memastikan sama ada bayi itu ditanam dalam keadaan masih hidup atau sudah mati.

"Berdasarkan kepada keadaan bayi itu, kita percaya bayi itu dilahirkan cukup bulan (sembilan bulan) dan sudah meninggal dunia melebihi 24 jam dan kita telah  mengarahkan semua klinik dan pusat kesihatan di daerah ini untuk mengesan suspek," katanya.

Menurut Baharudin, kes akan disiasat dibawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan mayat bayi tersebut kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Daerah untuk tindakan selanjutnya.

Tag: