MB Terengganu Sedia Bentang Bajet Negeri 2019

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) akan membentang Bajet Terengganu 2019 pada 25 November ini.
KUALA TERENGGANU, 22 November - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, Bajet Terengganu 2019 akan dibentangkan oleh beliau pada 25 November ini yang bakal menyaksikan perancangan kewangan kerajaan negeri bagi tahun hadapan.

"Insya-Allah kita akan bersiaran secara langsung dalam pembentangan Bajet Terengganu 2019 pada hari Ahad 25 November 2018 bermula jam 11:00 pagi.

"Sehubungan itu, saya mengajak rakyat untuk sama-sama menyaksikan perancangan kerajaan negeri dalam membawa Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera. Layari Facebook Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Facebook TV Darul Iman dan YouTube Web Tv Terengganu," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.


Pembentangan belanjawan tersebut akan berlangsung pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet). Persidangan akan berakhir pada Khamis 29 September.

Sesi pembentangan Belanjawan Terengganu bagi setiap tahun pastinya mendapat perhatian oleh seluruh rakyat Terengganu malah rakyat menantikan tarikh pembentangan bajet itu. Sebagai sebuah kerajaan prihatin serta bertanggungjawab, kerajaan di bawah kepimpinan Dr Samsuri pasti tahu apa yang perlu dilakukan demi kesejahteraan rakyat.

Setiap intipati peruntukan bajet menjadi fokus dalam kalangan rakyat dan penganalisis kewangan. Apa yang penting, sebarang jangkaan dan harapan rakyat terhadap Belanjawan Terengganu 2019 akan diselaraskan dengan kedudukan kewangan kerajaan.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Haji Zahari Azhar.

Tag: