Kebakaran di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu, malam tadi turut menarik perhatian Menteri Besar untuk meninjau lebih dekat kejadian sejurus tiba dari majlis bersama masyarakat di Dungun pada sebelah petang.
Dato’ Seri Haji Ahmad Razif Abd Rahman tiba di tempat kejadian kira-kira jam 11.30 malam dan melihat kerja memadam kebakaran oleh anggota Bomba.
Pasukan Bomba dari tiga balai berdekatan memulakan operasi pemadaman dari jam 9.45 malam, sejurus menerima laporan kebakaran itu.
Menurut Komander Operasi PgKB 1, Wan Azmi Ahmad, kebakaran melibatkan enam unit kedai dan tujuh buah rumah di deretan yang sama.
Difahamkan, tekanan air yang rendah menyukarkan kerja pemadaman dan Syarikat Air Terengganu (SATU) dikerahkan supaya menambah bekalan air segera ke tempat kejadian.
Ahmad Razif mengucapkan takziah kepada mangsa yang terlibat, bagaimanapun beliau turut bersyukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau meminta Pegawai Penyelaras DUN Ladang, Dato' Mohd Sabri Alwi untuk mengambil tindakan sewajarnya melihat bantuan yang diperlukan mangsa kejadian.
"Saya menyerahkan kepada Dato' Mohd Sabri bagi mewakili pihak kerajaan negeri melihat keperluan dan apa yang sepatutnya dibantu,"katanya.