• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

MB UcapTakziah Kepada Keluarga Dua Juruterbang TUDM

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengucapkan takziah kepada keluarga dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam tragedi yang berlaku di Hutan Paya Chukai, Kemaman, hari ini.

Allahyarham Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, yang dilaporkan menjalani latihan menaiki pesawat Hawk 108 ditemui meninggal dunia di Hutan Paya Chukai, Kemaman, Terengganu kira-kira 2.30 petang tadi.

"Takziah kepada keluarga Allahyarham Mejar Mohd Hasri Zahari dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof.

‘"Semoga kedua-dua Allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman kerana mereka adalah pejuang kerana terkorban ketika bertugas untuk negara,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Rakyat Bersama Menteri Besar di Masjid Al- Mustaqim, Pulau Serai, Dungun.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan; Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud serta Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Dato' Din Adam.


Ahmad Razif berkata, pengorbanan kedua-duanya sangat besar dalam menjaga keselamatan negara dan disebabkan jasa dan pengorbanan anggota tentera seperti merekalah keadaan negara kita selamat, aman dan harmoni.

"Saya bagi pihak seluruh kepimpinan kerajaan negeri dan rakyat Terengganu mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua allahyarham dan semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

Dalam laporan media sebelum ini memberitahu, mayat Mejar Mohd Hasri Zahari dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, ditemui 20 meter antara satu sama lain lengkap dengan payung terjun masing-masing.

Dua juruterbang TUDM yang hilang bersama sebuah pesawat pejuang TUDM jenis Hawk 108 pagi tadi itu ditemui meninggal dunia di Hutan Paya Chukai selepas cuba menyelamatkan diri menggunakan payung terjun kecemasan, bagaimanapun, bangkai pesawat itu belum ditemui setakat petang tadi.

Tag: