KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menjelaskan operasi penguatkuasaan di hadapan Masjid Wakaf Tembesu dibuat selepas menerima aduan daripada pihak masjid dan orang awam berhubung kesesakan serta gangguan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat berkata, operasi menerusi Cawangan Kawalan Niaga (CKN) itu melibatkan pengalihan stall haram dan barangan penjaja yang ditinggalkan di tepi jalan.
Menurut beliau, tindakan tersebut bukan dibuat secara mengejut, sebaliknya selepas MBKT mengeluarkan dua notis peringatan dan mengenakan kompaun RM250 kepada penjaja terlibat.
“Operasi ini dilaksanakan hasil aduan awam kerana keadaan stall dan barangan yang ditinggalkan di tepi jalan membahayakan pengguna jalan raya serta mengganggu kelancaran trafik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penyebaran video di media sosial yang memaparkan operasi berkenaan.
Jelasnya, tindakan MBKT dibuat atas faktor keselamatan awam selepas amaran dan tindakan kompaun sebelum ini masih tidak dipatuhi.
Lizan turut menegaskan, MBKT tidak menghalang aktiviti perniagaan kecil, namun penjaja perlu mematuhi peraturan dan tidak berniaga di lokasi yang boleh mengganggu aliran trafik.
Katanya, sekiranya lokasi perniagaan didapati sesuai dan selamat, MBKT akan menasihatkan penjaja untuk mendapatkan lesen serta berniaga secara sah.
“Kalau tempat yang agak selamat, kita nasihat angkat lesen niaga,” katanya.
Tag :