KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menafikan anggotanya menembak mati seekor anjing sebagaimana dakwaan yang sedang tular di media sosial.
MBKT ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, setiap operasi penangkapan anjing liar hanya menggunakan kaedah penahanan perangkap sahaja sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
"Tiada operasi kami menggunakan kaedah tembakan sama ada menggunakan peluru hidup atau pelali.
"Lagipun MBKT tiada senapang untuk digunakan dalam sebarang operasi," kata MBKT ringkas sebentar tadi.
Justeru pihak MBKT menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita tidak betul hingga mencetuskan persepsi salah dalam kalangan masyarakat.
Walau bagaimanapun MBKT memandang serius jika perkara itu berlaku di luar pengetahuan mereka.
"MBKT akan menyiasat perkara ini, kita memohon agar semua bertenang," ujar MBKT.
Sejak petang tadi, tular satu video di media yang mendakwa pihak berkuasa tempatan bertindak kecam terhadap anjing.
Video tersebut mendapat lebih 500 ribu tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang awam sehingga ada yang melemparkan fitnah tidak berasas.