KUALA LUMPUR, 11 November – Kerajaan perlu memastikan pelaksanaan skim MediAsas bukan sahaja menawarkan perlindungan perubatan pada kadar mampu milik malah menjamin akses rawatan yang adil dan menyeluruh kepada rakyat di seluruh negara termasuk di negeri-negeri Pantai Timur.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, perkara itu dibangkitkan ketika mengemukakan pertanyaan kepada Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini berhubung indikator kejayaan program rintis MediAsas sebelum pelaksanaannya secara nasional pada Januari 2027.
Menurut beliau, usaha memperkenalkan MediAsas bagi memperluas akses kepada perlindungan perubatan mampu milik wajar disambut baik khususnya dalam mendepani peningkatan kos rawatan hospital swasta. Namun, keberkesanan skim berkenaan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kesediaan syarikat insurans dan penyertaan hospital semata-mata.
Beliau berkata, berdasarkan jawapan Timbalan Menteri Kewangan, MediAsas merupakan skim perlindungan secara sukarela dan empat rangkaian hospital swasta utama telah menunjukkan minat untuk menyertainya.
Bagaimanapun, program rintis yang hanya melibatkan 10 hospital di Lembah Klang menimbulkan persoalan mengenai tahap kesiapsiagaan kemudahan kesihatan swasta di negeri-negeri lain, khususnya Terengganu dan Pantai Timur.
“Minat untuk menyertai belum bermaksud akses rawatan telah tersedia secara menyeluruh. Kita perlu melihat sejauh mana penyertaan hospital dapat diperluaskan supaya rakyat di luar Lembah Klang turut menikmati manfaat yang sama,” katanya.
Dr. Alias turut membangkitkan kebimbangan berhubung cadangan mengenakan ko-insurans tambahan sehingga 20 peratus bagi rawatan di hospital yang tidak memenuhi syarat MediAsas, yang masih dalam penelitian pihak berkaitan.
Menurutnya, mekanisme sedemikian perlu diteliti dengan mendalam agar pesakit di kawasan yang mempunyai pilihan hospital swasta terhad tidak terpaksa menanggung kos tambahan hanya disebabkan kekurangan hospital yang menyertai skim berkenaan.
Beliau menegaskan, kejayaan MediAsas perlu dinilai berdasarkan tiga aspek utama iaitu kemampuan premium dan kos rawatan, kebolehcapaian hospital yang seimbang antara wilayah serta keberkesanan perlindungan apabila pesakit benar-benar memerlukan rawatan.
Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kewangan bersama Bank Negara Malaysia dapat memperincikan mekanisme perlindungan pengguna, khususnya bagi penduduk di kawasan yang mempunyai pilihan hospital swasta yang terhad.
“Kita tidak mahu rakyat memiliki polisi perlindungan perubatan, tetapi apabila memerlukan rawatan, mereka masih berdepan kesukaran mendapatkan kemudahan atau terpaksa menanggung beban kewangan tambahan.
“Perlindungan kesihatan yang mampu milik bukan sekadar mampu dibeli, tetapi mesti benar-benar boleh digunakan apabila rakyat memerlukannya. Itulah ukuran sebenar kejayaan sesuatu pembaharuan dalam sektor kesihatan,” katanya.