Jalur Gemilang
Berita :
Tilawah, Hafazan al-Quran Terengganu Buka Tirai
Tilawah, Hafazan al-Quran Terengganu Buka Tirai
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
88

KUALA TERENGGANU, 11 November – Seramai 40 peserta mengambil bahagian dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis ini.

Daripada jumlah itu, 30 peserta menyertai kategori hafazan manakala 10 lagi bertanding dalam kategori tilawah membabitkan lima qari dan lima qariah.

Bagi acara hafazan, peserta dibahagikan kepada tiga kategori iaitu satu hingga 10 juzuk, satu hingga 20 juzuk dan satu hingga 30 juzuk.

Seramai 15 peserta telah memperdengarkan hafazan masing-masing pada Selasa, manakala baki peserta meneruskan acara berkenaan pada Rabu.

Sementara itu, kategori tilawah menyaksikan penyertaan lima qari iaitu Abdul Hadi Che Ab Halim, Mohamad Sodiq Mudrikah, Mohd Qosim Husni, Ahmad Syahir Yahaya dan Muhammad Zulhilmi Ab Rahman.

Lima qariah pula terdiri daripada Nur Jannah Ab. Rahman, Nur Afifah Zaki, Siti Nasuha Ali, Norasid @ Nor Asiah Ali dan Adawati Abdul Rahman.

Majlis bertemakan 'Madani Dihayati Ummah Diberkati' itu dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Stadium Negeri, di sini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Majlis perasmian turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh Kumpulan Zulfa sebagai pembuka acara.


Menariknya, penganjuran kali ini menampilkan reka bentuk pentas bertemakan 'Simfoni Syiar Perpaduan' yang menggabungkan elemen seni bina klasik dan kontemporari berinspirasikan masjid-masjid di Terengganu.

Antara yang diketengahkan ialah Masjid Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Putih di Kuala Terengganu yang dipaparkan menerusi skrin utama pentas.

Masjid bersejarah yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin II sekitar tahun 1793 itu merupakan antara mercu tanda warisan seni bina Islam di negeri ini.

Gabungan elemen tradisional dan moden tersebut bukan sahaja menyerlahkan keunikan seni bina Islam Terengganu, malah menggambarkan kesinambungan warisan, perpaduan serta kecintaan masyarakat terhadap al-Quran.

Orang ramai turut dijemput hadir memeriahkan majlis berkenaan yang akan melabuhkan tirainya pada Khamis


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan