Mencari Kesempurnaan Ibadah
KUALA TERENGGANU, 26 Mac – Masyarakat perlu mementingkan memahami aspek fiqh puasa bagi memastikan ibadah yang dilaksanakan diterima dengan sempurna.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata mengajak umat Islam untuk memperdalam ilmu berkaitan ibadah ini agar tidak terjerumus dalam kesilapan yang boleh menjejaskan amalan.
"Puasa bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menuntut kita menjaga akhlak, percakapan, dan perbuatan."
"Jika kita memahami rukun dan syaratnya dengan betul, insyaAllah ibadah kita akan lebih bermakna serta diterima oleh Allah," katanya
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah Zohor dalam Program Itqan Insani sempena Pembudayaan Indahnya Bersyariat yang berlangsung di Wisma Darul Iman.
Selain itu, beliau turut mengingatkan tentang ancaman bagi mereka yang sengaja meninggalkan puasa tanpa uzur syarie.
"Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan. Jika kita mengambilnya dengan ringan, kita mungkin termasuk dalam golongan yang lalai. Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbaiki ibadah kita agar lebih sempurna," tambahnya lagi.
Program yang dihadiri oleh kakitangan kerajaan dan orang awam ini bertujuan untuk memperkukuh kefahaman masyarakat dalam melaksanakan ibadah puasa dengan lebih baik.
"Semoga tazkirah ini dapat meningkatkan kefahaman kita mengenai ibadah puasa dan mendorong kita untuk melaksanakannya dengan lebih baik," katanya sebagai penutup.