Menjadi Tokoh Hebat Tidak Mudah -Dr Ahmad Samsuri


Dr Ahmad Samsuri berucap di Program Bicara Tokoh UMT Gong Badak Kuala Nerus.-Foto Saiful Mustafa

KUALA NERUS - Percaya pada potensi diri sepenuhnya dan berusaha mencapai kejayaan menjadi tokoh yang hebat, satu usaha yang tidak mudah.

Dalam menangani masalah itu Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, pelajar universiti perlu meninggalkan kegagalan dan meneruskan kehidupan mereka jika mahu berjaya.

"Mulailah hidup semula dan maju ke hadapan. Jangan biarkan keadaan negatif anda menghantui diri anda dan menjejaskan tumpuan anda dalam pelajaran.

"Malah orang terkenal seperti (pencipta Amerika) Thomas Alva Edison telah gagal beberapa ratus kali sebelum berjaya mencipta lampu elektrik," kata Dr Ahmad Samsuri, yang juga seorang pakar kejuruteraan aeroangkasa.

Beliau menyeru mahasiswa supaya percaya kepada diri sendiri dan mempunyai keyakinan diri untuk berdepan dengan cabaran semasa yang berubah-ubah ketika mengejar impian dalam pelajaran.

"Biarkan masa lalu berlalu. Jangan bawa sentimen negatif atau kegagalan berterusan dalam kehidupan.

"Terokai potensi diri anda untuk membina masa depan yang lebih baik, hargailah pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapa dan keluarga untuk membawa anda ke tahap hari ini.

Dr Ahmad Samsuri (tengah) menyampaikan Dermasiswa Al-Ikhlas kepada wakil pelajar.


"Beri mereka rasa bangga dan berusahalah untuk muncul sebagai tokoh yang menjulang tinggi," katanya kepada mahasiswa yang baharu dilantik semasa program 'Bicara Tokoh' di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak, 4 September.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang mengingatkan mereka supaya bercita-cita tinggi dengan menentukan matlamat yang jelas untuk mencapai cita-cita.

"Sebaik sahaja anda melakukan ini, pergilah menggapai apa yang anda cita-citakan!" Katanya.

Dr Ahmad Samsuri menambah bahawa universiti menyediakan ruang untuk pelajar, 'belajar berenang' (bagaimana cara berusaha) menghadapi cabaran dalam kerjaya mereka, di kemudian hari.

"Optimalkan pengetahuan yang diperolehi dan memanfaatkannya untuk berdiri sendiri, kerana sebaik sahaja anda meninggalkan universiti, pensyarah anda tidak akan berada di sana untuk membimbing anda.

"Oleh itu, gunakan sepenuhnya masa anda di sini (di universiti)," katanya.

Dr Ahmad Samsuri, bagaimanapun, memberi amaran kepada pelajar bahawa walaupun universiti adalah tempat latihan, seseorang itu tidak boleh menjadi perfeksionis (manusia yang terlalu fokus kepada kesempurnaan) kerana mereka akan menghadapi penyimpangan dalam hidup.

"Menjadi manusia, tiada siapa yang boleh sempurna. Anda perlu menyesuaikan diri dengan situasi dan perubahan.

"Cabaran, sama ada dalaman atau luaran, menjadikan kita lebih matang dan orang yang lebih baik. Belajar dari kesilapan anda dan buat pembetulan untuk memperbaiki, "katanya.

Beliau menambah bahawa cabaran sedemikian menimbulkan ketidakupayaan individu untuk mengendalikan tekanan rakan, tekanan, menguruskan kewangan atau emosi lain.

MB bertanyakan sesuatu kepada pelajar baharu UMT.


"Jangan berputus asa dengan mudah. Tidak salah untuk jatuh, tetapi anda mesti berusaha untuk bangkit.

"Ia sama seperti kata-kata legenda tinju Muhammad Ali yang mengatakan anda boleh jatuh dalam gelanggang semasa pertandingan tetapi boleh pergi dan menang jika anda berdiri untuk bertarung," kata Menteri Besar.

Beliau mengingatkan pelajar supaya bersuara dan berkongsi masalah mereka dengan pensyarah dan rakan-rakan supaya perkara-perkara tersebut boleh ditangani dengan baik.

Pada masa yang sama, Dr Ahmad Samsuri menggesa mereka untuk membangunkan kemahiran 'Soft Skills' (Perhubungan Awam), berinteraksi dengan orang lain, menghadiri ceramah dan seminar, membuat kawan baharu untuk memperoleh pengalaman dan pengetahuan.

Tag: