‘Menyusahkan’ - Respon MB Berhubung Sekatan Royalti
KUALA TERENGGANU, 18 November - Terengganu menganggap kaedah pembayaran royalti petroleum ketika ini sangat menyusahkan Kerajaan Negeri dan pegawai di Kementerian Kewangan (MOF).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebahagian hasil royalti bagi 2024 juga masih tidak dipulangkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri.
“Untuk 2024, tidak dibayar sepenuhnya lagi. Yang dibayar adalah mengikut kaedah peringkat dan ‘claim’, masih ada dalam permohonan-permohonan kita yang dalam proses pertimbangan di peringkat MOF.
“Tempoh untuk mendapat bayaran juga agak lama, biasanya memakan masa satu hingga empat bulan.
“Sudah tentu cara begini menyusahkan Kerajaan Negeri dan menyusahkan pihak MOF kerana terpaksa melayan surat-surat dan permintaan daripada negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Pembentangan Belanjawan 2025 bertemakan 'Demi Masa Depan Terengganu' di Wisma Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan cara tersebut juga membebankan pihak ketiga yang menanti pembayaran berkenaan.
“Pembayaran terus daripada MOF kepada pihak-pihak yang memerlukan pembayaran itu, ini juga menyusahkan mereka.
“Kerana mereka terpaksa semak balik segala ‘voucher’ yang dibuat oleh Kerajaan Negeri.
“Jadi, ia bukan ‘double work’ lagi dah ‘triple work’ yang berlaku. Pada kami ini kerja yang tidak efisien kerana mengakibatkan kerja tambahan yang tidak perlu.
“Kita masih menyeru Kerajaan Persekutuan sama ada di Parlimen ataupun dalam Dewan Undangan Negeri posisi supaya melaksanakan kembali polisi bayaran seperti sebelum ini,” katanya.