Mohalim Iklim Pertaruh Herow Band Dengan `Hanya Kamu Saja'

 Herow Band mempertaruhkan  akustik balada 'Hanya Kamu Saja'. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail


Kumpulan Herow band yang terdiri daripada lima anak muda dicetuskan oleh Mohalim Iklim bakal mewarnai persada tanah air menerusi lagu akustik balada 'Hanya Kamu Saja'.

Kugiran yang ditubuhkan pada 2012 ditunjangi Syahidin, Salam dan Salihin Mohd Salim yang juga anak kepada Mohalim. Sementara dua lagi, Aiman Hakim dan Shahriman Sulaiman.

Konsep kumpulan ini ialah membawa lagu-lagu berunsur pop, akustik dan balada dengan bakat mereka yang berusia 17 hingga 22 tahun itu diasah oleh Mohalim sendiri.

Vokalis utama kumpulan, Muhd Syahidin, 21, berkata album yang baru dilancarkan itu mengandungi empat lagu dengan  taruhan `Hanya Kamu Saja' sebagai lagu hits dan dijangka menjadi siulan pendengar masa kini.

Album terbitan Mohalim Audio Production (MAP) Muzik juga mengandungi lagu-lagu `Bersama Selamanya' , `Pergi' dan `Rindu Kuih Tempatan' dicetak sebanyak 500 unit dengan tawaran harga RM12 seunit.

"Kami sering dijemput membuat persembahan di Pantai Timur khususnya Terengganu. Tetapi tidak menolak untuk membuat persembahan di seluruh negara jika diberi peluang untuk pergi lebih jauh.

“Kumpulan ini pernah menjadi juara sebanyak tiga kali dalam persembahan busking di Terengganu pada 2014,"katanya kepada media di Majlis perjumpaan Bersama Media anjuran Unit Komunikasi negeri Terengganu (UKOM) sempena Aidilfitri 2017, di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah UKOM, Dato' Muda Mamat.

Sementara itu, menurut pengurus kumpulan, Mohalim, pada sambutan hari raya tahun ini, kumpulan itu turut mencipta satu lagu yang berjudul `Joget Di Hari Raya' dan sudah dimuat naik di laman sosial YouTube.

 

 


Dalam pada itu, Mohalim juga mahu memeriahkan lagi persada seni negara dan melihat bakat anak-anak didiknya itu boleh diketengahkan lebih jauh sekali gus mampu menjadi ikon kepada golongan belia khususnya dalam industri muzik.

“Oleh kerana kumpulan Iklim telah lama menyepi, saya mengambil satu inisiatif baru untuk terus menghasilkan kesinambungan dalam industri seni tanah air.

“Hampir empat tahun saya mengambil masa untuk menubuhkan kumpulan ini. Ketika mereka masih di alam persekolahan saya mengajar cara-cara bermain gitar dan mengolah lagu agar dapat merealisasikan hasrat menubuhkan kumpulan baru yang sesuai dengan citarasa pendengar masa kini.

“Untuk konsep dan lagu kumpulan ini, saya memberi kebebasan kepada mereka dan bukan mengikut konsep saya atau dibayangi oleh Iklim.

“Harapan saya agar album ini mendapat sambutan kerana saya dapat melihat kesungguhan mereka untuk menghasilkan album dan produk sendiri tanpa pihak lain yang menguruskannya,”katanya.

Selain menyanyi, Herow Band juga turut menceburi cabang perniagaan dengan menjual produk yang dihasilkan sendiri seperti  T-Shirt Herow Band dan minyak wangi “Herow” by Sembo yang dijual menerusi Facebook serta  Instagram.

 

 


Tag: