Mohon Kerajaan Pusat Kurang Kadar Yuran IPTA
SETIU, 28 Mac-Kerajaan Pusat diminta mengurangkan kos pengajian pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini, terutama bagi mereka yang dikategorikan dibawah tanggungan keluarga golongan B40.
Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata perkara ini dianggap penting bertujuan mengelak penuntut universiti terpaksa menahan lapar atau dengan kata lain mengikat perut semata-mata mahu berjimat untuk membayar yuran semester.
“Jika yuran pengajian IPTA dapat dikurangkan, penuntut pastinya mampu menggunakan wang tersebut bagi menampung kos sara hidup harian tanpa terpaksa berlapar , selain memberi sepenuh perhatian terhadap pembelajaran,”katanya dalam satu kenyataan
Katanya, kebanyakan golongan itu adalah penerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.
“Nilai pinjaman yang diberikan kepada pelajar adalah sebanyak RM6,650 setahun atau RM3,325 bagi setiap semester bagi tujuan bayaran yuran pengajian dan kos sara hidup.
“Berdasarkan kajian yang dijalankan, 50 peratus pelajar daripada keluarga golongan B40 hanya mempunyai sekitar RM100-RM150 untuk belanja makan dan minum sebulan.
“Ini bermakna, hanya RM5 sehari untuk isi perut. Jelas sekali ia tidak mencukupi. Jumlah wang ini belum ditolak yuran asrama, peralatan pengajian, dan lain-lain lagi." Katanya.