Monsun Timur Laut Dijangka Bermula Selasa
DUNGUN, 3 November - Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh dijangka bermula pada 5 November ini dan berterusan sehingga Mac 2025.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, sepanjang tempoh lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku.
Jelasnya, episod hujan lebat akan berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang, dari November hingga Disember ini.
Berikutan itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mengingatkan seluruh warga Dungun untuk bersedia menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba nanti.
"Dalam fasa awal dari November hingga Disember, daerah kita berisiko mengalami hujan lebat yang berpanjangan. Keadaan ini boleh mengakibatkan situasi banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
"Risiko ini akan bertambah sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar dan angin ribut.
"Oleh itu, warga Dungun yang tinggal di kawasan-kawasan rendah digesa agar sentiasa bersedia dengan sebarang langkah keselamatan," katanya.
Beliau yang juga Incident Commander Khidmat Malaysia Dungun (KHIDMAT), berkata demikian ketika berucap di Majlis Himpunan Sukarelawan Banjir PAS Dungun, yang berlangsung di Dewan KAFA, Masjid Lama Kg Sura, Dungun, semalam.
Beliau turut berpesan kepada komuniti nelayan dan mereka yang bekerja di perairan supaya cakna terhadap perubahan angin kencang dan laut bergelora yang diramalkan berlaku sepanjang musim tengkujuh.
"Risiko kenaikan paras laut dan ombak besar boleh mengancam keselamatan. Pastikan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca sebelum ke laut."
"Oleh itu, saya mengajak seluruh masyarakat untuk bersatu hati dan bersedia menghadapi cabaran Monsun Timur Laut ini. Jaga keselamatan diri, keluarga, dan komuniti kita. Sama-samalah kita berdoa agar segala ujian ini dipermudahkan oleh Allah SWT," katanya.