Terengganu Percepat Pembinaan 'Breakwater' di Kawasan Kritikal
KEMAMAN, 15 Januari - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Syarikat Ignis Wawwa (Terengganu) Sdn.Bhd telah memeterai Perjanjian Konsesi Bagi Pengurusan Sisa Pepejal di Tapak Pelupusan Bukit Takal, Mak Chili dan Tapak Pelupusan Bukit Gelugor, Kerteh di Hotel Saujana Subang, Shah Alam, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata MoU antara kedua-dua pihak itu mampu memberi impak yang sangat baik dan berjaya mencapai objektif bagi memastikan sampah lama dan baru dapat diurus dengan sempurna.
"Perkara utama adalah menjaga alam sekitar dan ia mampu memberi impak yang lebih positif dan memenuhi keperluan industri dan negara selaras dengan prinsip alam sekitar, kestabilan, dan tadbir urus," katanya yang juga menyaksikan majlis yang bersejarah itu.
Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) MPK, Fadli Yusof Zakaria berkata kapasiti sampah yang dapat dijana di Daerah Kemaman adalah 200 tan per hari.
"Keadaan kedua-dua tapak memerlukan proses pemulihan yang stabil dan terurus bagi memastikan sampah lama dan baru dapat diurus dengan sempurna.
"Oleh yang demikian, pihak MPK telah bersetuju melantik Syarikat Ignis Wawwa (Terengganu) Sdn.Bhd bagi menjalankan proses pemulihan tersebut.
"Projek yang dijalankan ini adalah bertepatan dengan konsep kerajaan negeri bagi mengguna pakai kaedah "Waste To Energy" yang memberi pulangan tinggi kepada pihak MPK," ujarnya.
Katanya lagi, dengan memproses sisa pepejal di tapak pelupusan sampah, jangka hayat tapak pelupusan lebih panjang.
"Ianya juga mampu memberi penjimatan perbelanjaan pengurusan sisa buangan yang ditanggung oleh MPK.
"Selain itu, ia akan mengurangkan pencemaran air bawah tanah melalui teknologi hijau yang digunakan dan juga akan merancakkan ekonomi melalui penghasilan pelbagai produk dan hasil serta menyediakan peluang pekerjaan terutamanya kepada penduduk setempat,"jelas beliau.