Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
KUALA LUMPUR, 16 Julai - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memberi jaminan untuk mengutamakan rakyat Terengganu bagi 3,200 peluang pekerjaan di sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila memulakan operasi pada Januari 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwish Abdul Razak berkata, pihaknya telah berbincang dengan Kerajaan Terengganu bagi menyediakan tenaga kerja dan sumber manusia khususnya di enam stesen ECRL di negeri tersebut.
Katanya, Terengganu juga akan merasai limpahan ekonomi dan kemajuan sebaik ECRL beroperasi.
"Jadi tentunya kerajaan negeri perlu bersedia menyediakan keperluan tenaga kerja dan sumber manusia pada masa akan datang (fasa pengoperasian).
"Saya rasa perkara ini perlu diperhalusi, diperbincangkan lagi dengan lebih mendalam," ujarnya ketika ditemui urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas menerima kunjungan Kerajaan Negeri Terengganu di sini, semalam.
Delegasi itu telah diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman.
Turut hadir, Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar serta wakil daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari Terengganu.
Dalam pada itu, Ariffin Deraman pula berkata pertemuan yang diadakan itu sangat bermakna dalam usaha kerajaan negeri memastikan rakyat negeri Terengganu akan diberikan keutamaan untuk mendapat peluang pekerjaan.
"Hasil pertemuan sangat memberangsangkan, kalau kita tidak berjumpa maka kita tidak tahu akan peluang pekerjaan begitu banyak untuk rakyat Terengganu. Besar harapan agar rakyat Terengganu diberikan peluang untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang ada," katanya.
Justeru katanya, kerajaan negeri akan berusaha menyediakan tenaga kerja yang akan mengisi segala peluang pekerjaan itu, rakyat Terengganu akan dilatih dengan kemahiran tinggi bagi mengisi kekosongan itu nanti.
"Insya-Allah kita akan bertindak atas persetujuan bersama untuk membuat Memorandum Persefahaman (MoU) berdasarkan objektif utamanya, rakyat Terengganu akan mendapat pekerjaan di bawal MRL. Dari segi berapa jumlah pekerjaan yang akan diisi itu nanti tidak dibincangkan lagi.
"Apa yang pasti dengan adanya ECRL ini dia akan menjadikan kawasan di sekitar enam stesen di Terengganu ini akan mengalami pembangunan yang pesat dari Kemaman sehingga ke Besut," ujarnya.