Mualaf Bukan Selama-lamanya Mualaf



Seorang Mualaf menerima sumbangan hamper dari Ustaz Mohd Nor (kanan).
MARANG, 29 Mei - Golongan Mualaf diperingatkan supaya tidak merasakan diri mereka berkedudukan sebagai mualaf (baru memeluk Islam) sepanjang masa, sebaliknya mereka perlu merasakan  diri mereka sudah lama menganut Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, golongan mualaf perlu merasai diri mereka sebagai penganut lama Islam dan percaya mereka juga mempunyai dosa seperti orang Islam lain.

Katanya, mereka diumpamakan seperti kopiah putih bila lama dipakai, akan timbul bintik-bintik hitam dan kotor sekali gus kopiah itu perlu dibasuh.

"Begitu juga golongan muallaf, mereka perlu meminta ampun kepada Allah atas segala dosa yang mereka lakukan sebagaimana umat Islam lain, jangan sentiasa merasakan diri mereka mualaf," jelasnya.
Ustaz Mohd Nor Hamzah

Justeru katanya, mereka perlu menuntut ilmu agama dalam semua aspek dengan menghadiri majlis ilmu sama ada di masjid atau surau di samping menyertai majlis ilmu yang diwujudkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dan Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) sendiri.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Iftar Jamaie PERKIM Bahagian Negeri Terengganu di Perkarangan Bangunan Majlis Daerah Marang (MDM) di Tanjung Mengkudu Bukit Payung di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, Prof Dr Ramli Abdullah dan Naib Pengerusinya, Dato' Ismail Ali.

Seramai 70 warga mualaf termasuk 10 golongan asnaf sekitar daerah Kuala Terengganu dan Marang menerima hamper berupa kuih muih hari raya dari Ustaz Mohd Nor di majlis berkenaan.

Hamper tersebut adalah hasil sumbangan dari Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn Bhd.

Seterusnya Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata, adalah menjadi satu harapan kerajaan apabila ada di kalangan mualaf berjaya dilantik sebagai mubaligh.
Golongan Mualaf diraikan dalam Majlis Iftar Jamaie di MDM Tanjung Mengkudu Bukit Payung.

Ini kerana katanya, kewujudan mubaligh dari kalangan mereka sendiri mempermudahkan lagi misi dakwah Islamiyah di kalangan mualaf.

"Apa lagi yang menyampaikan dakwah itu sebangsa dan satu bahasa dengan golongan mualaf," ujarnya.

Tag: