MyCorps Bantu Bina Infrastruktur Di Lata Ulu Kasar

SETIU, 30 Oktober - Lata Ulu Kasar yang menerima kehadiran ramai pengunjung setiap hujung minggu bakal berubah dengan kehadiran sukarelawan MyCorps Malaysia 2.0 Setiu.

Bermula dua minggu lalu, sukarelawan MyCorps Malaysia di bawah inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mula membina tandas dan tempat persalinan buat kemudahan pengunjung.

Ketuanya, Nortasa Shakri berkata, beliau memilih Lata Ulu Kasar sebagai tempat projek kerana potensinya sebagai daya penarik utama pelancong ke daerah ini.

"Alhamdulillah kita menerima kerjasama baik daripada Majlis Daerah Setiu (MDS), Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Merbau Menyusut.

"Tandas dan bilik persalinan yang diangagarkan bakal siap menjelang minggu hadapan ini akan mempunyai sistem saliran air bersih dan kumbahan yang sempurna.

Ketua Projek MyCorps Malaysia 2.0 Nortasa Shakri dan Pegawai Penyelaras DUN Langkap Ybhg. Azmi Maarof
meninjau tandas dan bilik persalinan yang sedang dibina.
​​​

"Terima kasih juga diucapkan kepada sukarelawan 'Eight For Aid' yang membantu dalam misi ini dan Jabatan Amal DUN Langkap yang membantu menyiapkan surau yang terbengkalai serta 13 ahli Kelab Rakan Muda Daerah Setiu yang membantu membersikan kawasan sekitar lata," ujar beliau ketika ditemui wartawan hari ini.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof berkata, setakat ini bajet bagi pembangunan Lata Eko Rimba Ulu Kasar sudah diangkat oleh MDS kepada kementerian berkaitan.

"Di sini kita dapat melihat peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan membantu kerajaan dalam perkara yang memberi manfaat kepada masyarakat. Terima kasih diucapkan kepada beliau atas usaha ini," jelasnya.

Misi Sukarelawan MyCorps ini rentetan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan misi antarabangsa dialihkan ke dalam negara yang melibatkan 16 kumpulan secara keseluruhan.

Jabatan Amal Malaysia DUN Langkap membantu menyiapkan surau di Lata Ulu Kasar.

 


Tag: