Pemilik rumah bot yang menjalankan operasi di Tasik Kenyir menafikan menerima ugutan lesen operasinya akan ditarik balik kerana membawa rombongan dari kumpulan parti pembangkang melawat pulau bebas cukai di Pulau Bayas, Khamis lalu.
Pengurus Besar Suria Permata Kenyir House Boat, Azman Zahari berkata, kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) tidak pernah menghubunginya untuk mengambil tindakan menarik balik lesen operasi seperti diviralkan melalui laman sosial parti pembangkang.
Katanya, dua pekerjanya yang diberi tanggungjawab mengendalikan rumah bot juga tidak menerima sebarang panggilan telefon dari kerajaan negeri dan Ketengah mengenai lesen operasinya akan ditarik balik.
"Adalah tidak masuk akal kerajaan negeri dan Ketengah untuk mengambil tindakan setegas itu atas kesalahan membawa rombongan, termasuk kumpulan dari parti pembangkang melawat Tasik Kenyir.
"Saya dan dua pekerja juga menafikan ada mengeluarkan kenyataan kepada media, terutamanya dari parti pembangkang menerima ugutan sama ada melalui telefon atau secara lisan," katanya kepada BH, ketika dihubungi, pagi ini.
Azman |
Azman berkata demikian ketika mengulas laporan disiarkan melalui laman sosial termasuk Facebook (FB) parti pembangkang yang mendakwa ada menerima ugutan dari kerajaan negeri dan Ketengah lesen operasi botnya akan ditarik balik kerana membawa sekumpulan rombongan melawat beberapa pulau di Tasik Kentyir termasuk di pulau bebas cukai di Pulau Bayas.
Beliau berkata, kenyataan dimuatnaikkan melalui laman sosial termasuk FB parti pembangkang yang mendakwa pihaknya menerima ugutan lesen operasi akan ditarik balik adalah fitnah dan tidak sepatutnya dikeluarkan parti berkenaan.
"Pada Khamis lalu, hanya dua pekerja saya mengendalikan tempahan bot kerana saya berada di Bangkok, Thailand mengendalikan urusan perniagaan.
"Saya juga tidak dimaklumkan mengenai tempahan untuk membawa rombongan sekumpulan wanita dari parti pembangkang," katanya yang terkejut selepas membaca laman sosial, termasuk mendakwa dia ada mengeluarkan kenyataan menerima ugutan dari kerajaan negeri termasuk pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Azman berkata, pekerjanya yang mengendalikan tempahan dan membawa rombongan itu memaklumkan kepada ketua kumpulan itu bahawa pulau bebas Cukai iaitu Pulau Bayas adalah belum siap sepenuhnya
"Pekerja yang mengendalikan bot itu sudah memaklumkan Pulau Bayas adalah kawasan larangan,
"Demi menjaga hati pelanggan, pengendali bot itu terpaksa memenuhi permintaan dan kehendak ketua kumpulan berkenaan," katanya.
Azman berkata, dia juga meminta pemilik akaun laman sosial menarik balik kenyataan dikeluarkan kerana ianya satu fitnah dan ada unsur mencemarkan imej syarikatnya yang sudah mengendalikan perniagaan menyediakan perkhidmatan sewaan rumah bot di Tasik Kenyir.
Sumbangan berita: Baharom Bakar, Berita Harian