• 05 Nov 2024 | 03 Jamadil Awal 1446

Nelayan Seberang Takir Terima 'Durian Runtuh'

KUALA NERUS, 17 Disember - Seramai 350 nelayan di Seberang Takir menerima bantuan berbentuk barang keperluan harian bagi mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi mereka.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, kehidupan nelayan yang mencurah keringat demi menyediakan sumber makanan rakyat adalah pekerjaan yang cukup mulia. 

“Sebagai anak yang dibesarkan dalam keluarga nelayan, golongan ini sangat dekat di hati saya dan amat memahami jerit perit mereka tatkala tiba musim Monsoon Timur Laut," katanya. 

Beliau berkata demikian ketiaka berucap di Program Bantuan Nelayan Dun Seberang Takir Di Dewan Sivik Seberang Takir, Dun Seberang Takir kelmarin.

Dalam pada itu, nelayan Azhar Berahim, 42, berkata, bantuan yang diterima hari ini mengurangkan sedikit kerisauan yang difikirkan selama ini. 

Menurutnya, musim tengkujuh nanti sudah pasti menyebabkan golongan nelayan tidak dapat turun ke laut selama berbulan-bulan. 

“Banyak-banyak terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi sedikit sumbangan kepada kami terutama ketika berlaku musim Monsoon Timur Laut,” katanya.

Menurut Azhar, seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap kali musim tengkujuh kira-kira 80 peratus nelayan akan terkesan kerana tidak dapat turun sehingga tiga bulan.

Bantuan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Seberang Takir, Kazan Che Mat dan Dr Alias.

Bagi nelayan veteran, Zinal Che Omar, 62, pula menyifatkan bantuan yang diberikan kepada nelayan menjelang musim tengkujuh memang cukup bermakna. 

“Laut bergelora, angin kuat memang kami tak akan turun laut. Sebab itu saya gembira dan mengalu-alukan bantuan yang diterima, sekurang-kurangnya meringankan beban saya. Alhamdulilallah.

“Bukan sahaja bersyukur, malah saya gembira kerana ada pihak prihatin dengan nasib kami," katanya. 

 

 

 

 

 

 


Tag: