Nikmati `Light And Sound' Di TTI Secara Percuma 1 Januari Ini


Taman Monumen di Taman Tamadun Islam (TTI) akan dibuka secara percuma pada 1 Januari ini dari jam 8 malam hingga 12 malam untuk persembahan Bunyi dan Cahaya (Light and Sound) sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.

Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Samiun Salleh berkata, kerajaan negeri menjanjikan satu malam menarik untuk pengunjung mengenali dan melihat sendiri keunikan pesta ini.

Katanya, pertunjukkan Light and Sound sempena sambutan TMT 2017 itu akan berlangsung selama 3 hari.

"Orang ramai boleh berkunjung beramai-ramai dengan membawa keluarga bersantai sambil menyaksikan pesta cahaya dan bunyi ini.

“Kebiasaannya, pada hari-hari biasa akan dikenakan bayaran untuk menyaksikan pertunjukkan ini, namun kita bagi masuk percuma pada tarikh dan waktu tersebut bagi menyemarakkan sambutan TMT 2017,” ujarnya.


Dalam pada itu katanya, pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan bersama keluarga di TTI seperti aktiviti berbasikal, menyusuri sungai dengan menaiki River Cruise, melihat keunikan replika di Taman Monumen ( 22 masjid daripada 21 negara) dan menyaksikan keindahan Masjid Kristal yang sangat terkenal di negeri ini khususnya dan di Malaysia amnya.



Tag: