KUALA NERUS, 9 April -Sambutan Nuzul al-Quran yang disambut pada 17 Ramadan oleh seluruh umat Islam mengandungi rahsia serta mesej tersirat penuh hikmah di sebalik peristiwa agung tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, perlu disedari peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah itu menunjukkan al-Quran perlu dijadikan panduan utama serta rujukan terpenting umat Islam sepanjang zaman.
Kerana itu katanya, isi kandungannya bukan hanya sekadar untuk dibaca semata-mata tanpa diketahui maksudnya, sebaliknya perlu difahami dengan jelas untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat.
"Mengandungi seluruh aspek daripada sekecil perkara sehingga sebesar perkara kita dididik melaluinya.
"Proses Pendidikan berteraskan al-Quran ini adalah sepanjang hayat bagi mendapatkan jiwa yang suci untuk kembali kepada Allah. Setiap kandungannya perlu diambil pelajaran dan dipraktikkan dalam diri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Kampung Tok Jembal, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Mengulas lanjut Satiful berkata, masyarakat Melayu lazimnya sejak kecil mengambil berat mengenai pendikan al-Qur'an namun hanya sekadar mementingkan kemahiran membacanya sahaja.
"Semenjak dahulu dalam masyarakat ibu-bapa akan menghantar anak-anak ke kelas al-Quran dan terehenti apabila sudah khatam dan disambut dengan tradisi 'pulut kuning' yang telah sinonim sejak dahulu.
"Tanpa melalui satu peringkat lagi untuk memahaminya sehinggakan walaupun sudah berusia Masih tidak memahami 'kalamullah' sedangkan ia turut dibaca dalam solat.
"Alangkah malunya kita kepada Allah jika kita boleh belajar, menguasai serta memahami bahasa Inggeris, Mandarin, dan pelbagai bahasa lagi tetapi al-Qur'an yang sering dibaca ini kita tidak fahami maksudnya," ujarnya.
Justeru itu katanya, umat Islam pada hari ini perlu gunakan masa dan kesempatan yang ada untuk meneliti mesej yang terkandung di dalamnya untuk dijadikan panduan utama dalam mengamalkan Islam yang syumul dalam kehidupan.