Ubur-ubur Beracun ‘Singgah Lagi’ Di  Pantai Terengganu

KUALA TERENGGANU, 9 Januari – Orang ramai yang berada di sekitar pantai Kampung Kelulut dan Pulau Kerengga di daerah Marang dinasihatkan untuk berwaspada ekoran penemuan ubur-ubur beracun spesies Portuguese Man O’War.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, hasil tinjauan dijalankan pada Ahad mendapati terdapat ubur-ubur itu dilihat muncul kembali di persisiran pantai di Terengganu susulan musim monsun Timur Laut yang berlaku buat masa ini.

"Setakat pagi ini kita menemukan empat ekor ubur-ubur yang terdampar di pantai. Tinjauan masih lagi dijalankan dan kita tidak menolak kemungkinan masih terdapat lagi ubur-ubur spesies sama yang terdampar di kawasan pantai

"Orang ramai perlu lebih berhati-hati dan tidak melakukan aktiviti pantai di kawasan spesies ini ditemui. Walaupun kes yang membawa maut sangat jarang berlaku namun perlu berhati-hati," katanya,” dalam kenyataan, disini, pada Ahad. 

Tambah beliau, ubur-ubur besaiz kecil yang biasanya mendiami lautan Pasifik itu dilihat di perairan Pantai Timur pada Februari 2020.

"Kajian sebelum ini pernah merekodkan lebih 1,000 ubur-ubur itu terapung di perairan lautan hindi. Ia bergerak dengan cara hanyut dibawa arus atau angin. Untuk mengelakkan ancaman di permukaan, ia boleh mengempiskan beg udara dan tenggelam buat seketika," katanya. 

Dalam pada itu, Ruzaidi meminta orang ramai supaya lebih berwaspada dengan kemunculan hidupan itu kerana ubur-ubur api itu ia disifatkan antara spesies berbahaya kerana sengatannya boleh melumpuhkan mangsa selain menyebabkan kulit melecur dan membawa maut.

"Sengatan ubur-ubur ini amat  menyakitkan. Ubur-ubur yang sudah mati dan dihanyutkan ke pantai juga boleh menyebabkan sengatan jika tersentuh pada badan. 

"Walaupun ubur-ubur ditemui sudah mati, individu dinasihatkan untuk tidak menyentuh bangkai ubur-ubur tersebut kerana ianya masih beracun dan sangat berbahaya. Jika terkena sengatan, segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Justeru itu, orang ramai yang menemui ubur-ubur ini perlu melaporkannya kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.