Ombak Besar Badai Pantai Terengganu

KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Beberapa kawasan di sekitar pantai Terengganu telah dibadai ombak besar semalam.

Kejadian tersebut menyebabkan jalan di bahagian pantai Seberang Takir dan Kampung Sura Tengah di Dungun terpaksa ditutup.

Berdasarkan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), perairan negeri menandakan amaran kategori ketiga dengan kelajuan angin sehingga 60 Kmsj dan ombak setinggi 4.5 meter.

Amaran tersebut dijangka akan berterusan sehingga 3 Januari.

Sementara itu, sekitar jam 9.30 malam, jalan raya berdekatan Mayangsari Resort Dungun diawasi oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri (APMM).

Berdasarkan tinjauan wartawan Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sekitar jam 11.00 malam semalam, pihak Polis Diraja Malaysia dilihat menutup laluan jalan tepi pantai dari Seberang Takir menghala Jambatan Drawbridge sehingga simpang empat berhampiran TD1303.

Hasil tinjauan hari ini juga mendapati keadaan jalan di 'Pantai Miami' Seberang Takir dipenuhi dengan pasir pantai dan serpihan kayu laut dan dalam proses pembersihan oleh pihak berkuasa.