• 16 Okt 2024 | 13 Rabiul Akhir 1446

Operasi Penangkapan, Pelupusan Anjing Liar Ikut SOP KPKT

BESUT, 13 Oktober - Operasi penangkapan dan pelupusan anjing liar di daerah ini telah dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB), Mohd Sukeri Ibrahim berkata, kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini berlaku pada 6 September 2024.

Katanya, operasi itu dilaksanakan dengan peruntukan Seksyen 30, Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Besut) 1990

“Undang-undang itu memperuntukkan mana-mana anjing sama ada berlesen atau tidak, yang pemunyanya tidak ditemui, boleh dibinasakan atau dilupuskan sebagaimana yang diarahkan oleh Yang Di Pertua atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa.

“Dakwaan anjing yang digelar 'Kopi', dibiarkan selepas operasi adalah tidak benar kerana berdasarkan SOP MDB, anjing tersebut akan ditanam. Namun ketika itu, pegawai operasi dihalang oleh pengadu dan tidak dapat mengambil bangkai anjing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Sukeri berkata, operasi penangkapan dan pelupusan anjing liar dibuat selepas menerima banyak aduan daripada orang awam kerana boleh mengancam orang ramai.

“Bermula Januari 2024 sehingga September 2024, MDB telah menerima 62 aduan gangguan anjing liar daripada orang awam dan telah membuat 131 tangkapan anjing liar di seluruh kawasan di daerah Besut.

“Pihak MDB juga turut menerima aduan daripada orang awam berkenaan sekumpulan anjing liar yang berada di sekitar BSN Jerteh yang bertindak agresif dengan menyerang dan mengganggu orang awam yang melalui kawasan itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama bersama badan bukan kerajaan (NGO) untuk penyelesaian terhadap aduan anjing liar yang saban tahun semakin meningkat.


Tag: