Pandemik Tidak Halang Kerajaan Capai Sasaran SSL Pertanian
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Sasaran bagi tahap sara diri (SSL) masih munasabah untuk dicapai walaupun aktiviti pertanian terjejas dalam pandemik.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, SSL terhadap jumlah pengeluaran padi di Terengganu masih mampu dicapai pada akhir 2023.
“SSL melalui Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2018-2023, kita meletakkan sasaran sebanyak 60 peratus dari segi makanan ruji padi.
“Bagi tahun 2018 kita bermula dengan SSL 43 peratus dan menunjukkan peningkatan bagi setiap tahun hingga kita mencapai 54 peratus bagi tahun 2021,” tambahnya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Beliau turut berkata dengan unjuran tersebut, kerajaan berada di landasan tepat untuk mencapai sekurang-kurangnya SSL sebanyak 59 peratus.
Sasaran tersebut sedikit berkurang berbanding 60 peratus yang disasarkan pada peringkat awal namun peningkatan itu realistik dengan situasi pandemic Covid-19.
Pada masa sama, Dr Azman menyatakan komitmen kerajaan untuk memproses hasil padi di semua kilang proses padi di Terengganu sahaja bagi meningkatkan pengeluaran bekalan makanan ruji.