Pasangan OKU Penternak Ikan Keli
KEMAMAN, 16 Oktober - Sepasang suami isteri yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) Fizikal menjadi penternak ikan keli bagi mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup dan membantu meringankan bebanan keluarga.
Muhammad Firdhaus Hasan, 27, dan pasangannya, Nurul Jannah Roh, 25, yang tidak mampu berjalan dan bergantung dengan bantuan kerusi roda itu memulakan perniagaan tersebut sejak bulan Mac yang lalu.
Firdhaus berkata, mereka memulakan penternakan tersebut dengan membeli segala peralatan dan kelengkapan yang berkaitan dengannya serta membeli anak ikan keli sebanyak 1,000 ekor daripada pembekal di Kuantan, Pahang.
"Pada awalnya kami juga menghadapi masalah dan cabaran apabila sebahagian daripada jumlah anak ikan kami itu mati.
"Namun begitu, setelah mendapat bantuan daripada keluarga dan ilmu penternakan yang betul daripada seorang abang yang merupakan pesara di Jabatan Perikanan Malaysia, penternakan ikan keli kami ini mula berjalan dengan baik dan lancar serta kini saiznya mula membesar sehingga kami sudah mula mampu menjualnya kepada pelanggan," ujarnya.
Ikan keli yang merupakan baka Afrika ini dijual dengan harga RM10 untuk 4 ekor bersaiz sederhana. Ianya turut dibersihkan dan disiang terlebih dahulu sebelum dijual kepada pelanggan.
Pasangan ini juga turut mencari pendapatan sampingan dengan berniaga secara kecil-kecilan seperti menjual minuman kopi, dadih, kuih dan sebagainya pada setiap hujung minggu (Jumaat dan Sabtu) di Pekarangan Pantai Teluk Mak Nik.
Jelas Firdhaus, isterinya juga turut mengadakan perkhidmatan rawatan resdung tanpa asap, spa dan kecantikan di rumah mereka.
Apabila ditanya bagaimanakah perasaan mereka setelah menjalani kehidupan sebagai pasangan OKU, beliau menjelaskan perkahwinan tersebut dibina atas dasar cinta antara satu sama lain. Apabila melihat pada kekurangan yang ada, ianya bukan sesuatu yang mudah. Namun, mereka menerima takdir ini sebagai ketentuan dari Ilahi.
"Bagi meneruskan kehidupan ini, memang sangat mencabar terutama dalam mencari rezeki. Setiap ujian dan dugaan yang kami hadapi ini sebenarnya menandakan yang Allah S.W.T sayangkan kami.
Kami perlu berfikiran positif dan semangat perlu kuat. Segala kesukaran kami hadapi bersama. InsyaAllah, semoga rumahtangga yang dibina ini sampai ke akhir hayat," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Pasangan istimewa yang melangsungkan perkahwinannya pada Julai 2018 ini turut mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Mereka merupakan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 seorang. Mereka juga pernah menerima sumbangan berbentuk kewangan, beras dan barangan dapur daripada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Abd Razak Ibrahim.
Kepada mereka yang ingin mengetahui kisah dan melihat bagaimana perjalanan hidup pasangan ini, boleh menonton di Channel Youtube mereka sendiri, "JannatulFirdhaus TV".
Manakala kepada mereka yang ingin membeli ikan keli, mendapatkan rawatan resdung, spa dan sebagainya boleh ke rumah mereka beralamat 111 Kampung Tanjung Bukit Mentok, 24000 Kemaman, Terengganu atau hubungi mereka di talian 012-9453435 / 0111- 1401043.