Pasar Berkat, Usaha Bantu Peniaga dan Masyarakat

KUALA TERENGGANU, 26 September - Penganjuran Pasar Berkat memberi peluang kepada peniaga-peniaga untuk menjual barangan dengan harga berpatutan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Arifin Deraman berkata, pada program yang diadakan di Masjid Jamek Pengadang Baru itu, peniaga dapat menawarkan harga lebih murah dan memberi lebih manfaat kepada masyarakat setempat.

"Ayam RM10 seekor, daging pula sekilogram RM28 dan peniaga makanan juga kita minta hadir untuk memeriahkan pasar.

"Harga kurang? Ada beberapa cara antaranya kita berbincang dengan para peniaga untuk mendapatkan harga terbaik misalnya jualan ikan bagi memberikan sokongan kepada masyarakat.

"Saya juga melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) ada memberikan sumbangan dengan sejumlah wang kerana tanpa sokongan, agak sukar menurunkan harga dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu meninjau suasana di Pasar Berkat DUN Alor Limbat, semalam.

Program berkenaan dianjurkan Persatuan Pekerja dan Pengguna Kuala Terengganu (PEKA) dengan kerjasam pihak DUN dan masjid kini semakin mendapat permintaan di kalangan masyarakat setempat.

Ariffin menambah, pihaknya akan berusaha memenuhi permintaan rakyat di daerah lain selepas ini dalam usaha menyebar luas medium untuk membantu para peniaga dan pembeli tempatan.

 


Tag: