Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
PAU 2016: Ahli UMNO Jangan Bersikap Nasi Tambah
Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Dato’ Mohd Sabri Alwi memuji tindakan Presiden UMNO Dato’ Seri Najib Abd Razak yang mengambil keputusan memecat mana-mana individu menjadi duri dalam daging kepada parti UMNO.
Katanya, mereka yang diibaratkan gunting dalam lipatan itu, tidak boleh berada dalam parti kerana boleh menjadi lebih parah dan mana-mana ahli UMNO janganlah pula bersikap nasi tambah kepada isu-isu tertentu yang belum terbukti kesahihannya.
“Apa yang diperkatakan ini perlu dipandang serius kerana bimbang pembangkang mengambil kesempatan dengan menabur fitnah yang akan diulang-ulang.
“Fitnah yang dilemparkan kepada isteri presiden parti Datin Seri Rosmah Mansor semasa PRU ke 13 lalu berkaitan cincin bernilai RM24 juta sedangkan ia telah dimanipulasi oleh pembangkang serta diulang-ulang supaya rakyat mengiyakannya,” katanya.
Menurutnya, ramai lagi kalau dilihat pemimpin pembangkang telah dijatuhkan hukuman kerana fitnah yang dilemparkan kepada mana-mana pemimpin parti UMNO.
“Contohnya Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli yang telah bersiri-siri menabur fitnah akhirnya telah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan baru-baru ini dan juga Tony Pua yang turut dijatuhkan hukuman selama 3 bulan.
“Mana-mana pemimpin yang dulunya bersama UMNO telah dibuang dari parti kerana kerakusan kuasa dan telah menubuhkan parti sendiri, ” Katanya.
Katanya, apa yang diperkatakan itu termasuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang bertindak menubuhkan PKR atas perjuang peribadi.
“Manakala bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengambil pendekatan yang sama menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Saya berharap kepada ahli-ahli UMNO, perlu mengambil penganjaran berguna agar tidak mendatangkan keburukan lebih parah kepada parti,” katanya.