Sebat : Terengganu Junjung Syariat Islam, Undang-Undang Negara
PAU 2017: UMNO Perlu Menang, Elak Sesal Masa Depan
UMNO perlu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan datang supaya tidak menyesal pada masa akan datang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ucapan dasar Presiden UMNO, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa merasmikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 adalah jelas dan menumpukan kepada kesiapsiagaan menghadapi PRU14.
Katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, menang atau kalah bukanlah lagi satu pilihan dalam PRU14 akan datang tetapi satu kemastian untuk menang.
"Dari segi negara dan orang Melayu akan membayar harga yang sangat mahal sekiranya UMNO kalah dalam pilihan raya yang akan datang.
"Ini kerana kita berhadapan dengan musuh politik kita yang menggunakan apa jua cara melalui perang persepsi yang ditujukan bagi melemahkan pemikiran rakyat terhadap UMNO," katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui pemberita di PAU 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau yang juga ahli Parlimen Kemaman berkata, ucapan oleh presiden parti juga turut mendedahkan tentang kepura-puraan pembangkang yang mudah lupa dengan pakatan mereka di kalangan musuh-musuh politik.
"Mereka (pembangkang) mudah lupa, mereka berpakat dengan musuh-musuh yang dimaki dahulu dan turut menjilat apa yang mereka ludah dahulu," katanya.
Dalam pada itu, Shabery penuh yakin UMNO dan Barisan Nasional akan meraih kemenangan yang lebih besar berbanding pada PRU sebelum ini.