PBSNT Sambut Baik Cadangan Pemain Tutup Aurat
Hishamuddin Abdul Karim. |
KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Menjelang musim baru Liga Bola Sepak Malaysia, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyahut saranan kerajaan negeri agar pemain bola sepak Terengganu menutup aurat.
Timbalan 1 PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, beliau menerima kerjasama yang baik dari ketua-ketua jurulatih setiap pasukan untuk menjayakan usaha ini.
"Apa yang lebih menarik, pihak penaja utama pasukan Terengganu iaitu Syarikat Al-Ikhsan akan turut menyediakan seluar 'tight' bagi kesemua pemain setiap pasukan," ujarnya.
Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) TEPUH berkata demikian ketika berbahas pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet) baru-baru ini (27 November).
"Walaupun ia bukanlah terus dikuatkuasakan sebagai wajib, tetapi cukuplah pendedahan ini sebagai satu proses untuk memupuk kesedaran dalam diri pemain supaya prihatin untuk mematuhi syariat dari sekecil-kecil perkara.
"Insya-Allah, saya sendiri akan berbicara dengan semua pemain kita. Tiada paksaan. Tapi saya yakin, pemain kita tidak keberatan memilih cara ini.
"Setidaknya sebagai pemimpin kerajaan, kita berusaha memulakan langkah untuk patuh kepada tuntutan shariah mengikut pegangan mazhab masing-masing," katanya.