lightning-solid
Berita :
Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu Nafi Terlibat Dalam Iklan Pinjaman Tidak Sah
Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu Nafi Terlibat Dalam Iklan Pinjaman Tidak Sah
Ahmad Zaeem Zainudin
04 Jan 26
39

KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu menafikan sebarang penglibatan, kerjasama atau sokongan terhadap mana-mana tawaran pinjaman dan permodalan perniagaan yang menggunakan gambar, nama atau kemudahan Pejabat Parlimen Kuala Terengganu tanpa kebenaran.

Menurut satu kenyataan rasmi yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menerusi Facebook beliau, penggunaan gambar pejabat, kakitangan atau Ahli Parlimen bagi tujuan promosi pihak luar adalah tidak dibenarkan dan tidak pernah mendapat sebarang kelulusan rasmi.

588390791_1366896864789128_3812586594372283194_n.jpg 180.95 KB
"Untuk makluman, penggunaan gambar pejabat, kakitangan atau YB Ahli Parlimen Kuala Terengganu bagi tujuan promosi pihak luar adalah tidak dibenarkan dan tidak pernah mendapat kelulusan rasmi daripada pihak kami.

"Sebarang tawaran sedemikian adalah bukan mewakili pendirian atau urusan rasmi Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu," kata kenyataan tersebut, semalam.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan tular satu iklan kewangan di media sosial yang menggunakan imej dan kemudahan Pejabat Parlimen Kuala Terengganu bagi mempromosikan tawaran pinjaman perniagaan oleh pihak yang dikenali sebagai Permodalan Perniagaan Malaysia (PPM).

Tawaran iklan berkenaan menjanjikan kelulusan pinjaman pantas, dengan jumlah pinjaman rendah sehingga RM30,000, selain mendakwa pemohon hanya perlu membuktikan masih menjalankan perniagaan untuk melayakkan permohonan diluluskan. 

607279787_1394060288739452_177878608137937786_n.jpg 59.65 KB
Iklan tersebut turut menyatakan proses dokumentasi yang 'tidak rumit' serta kelulusan dalam tempoh singkat di samping memaparkan skim bayaran balik fleksibel melibatkan tempoh 1 bulan, 24 bulan dan 36 bulan, lengkap dengan anggaran bayaran bulanan, sekali gus memberi gambaran seolah-olah tawaran itu sah dan mendapat sokongan institusi rasmi.

Lebih membimbangkan, iklan tersebut menggunakan gambar suasana pejabat dan urusan kaunter yang menyerupai kemudahan Pejabat Parlimen Kuala Terengganu, sekali gus berpotensi mengelirukan orang awam serta meningkatkan kepercayaan terhadap tawaran berkenaan.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang iklan atau tawaran yang menjanjikan kelulusan pinjaman mudah, khususnya yang disebarkan melalui media sosial. 

"Orang ramai juga digalakkan untuk membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan," tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu memandang serius perkara berkenaan dan menegaskan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat penyalahgunaan berterusan yang boleh mengelirukan serta merugikan orang awam.


Artikel Berkaitan