Pekebun Berkelompok Terima Bantuan Alatan Pertanian

Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA NERUS, 27 Julai - Seramai lapan pekebun berkelompok menerima bantuan alatan pertanian berupa kereta sorong dan juga pam penyembur racun, hasil sumbangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Buluh Gading, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, kerajaan negeri menghulurkan sumbangan kepada mereka atas inisiatif yang disifatkannya sebagai sesuatu yang hebat.

“Syabas dan tahniah kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Sabtu kerana mengambil inisiatif yang hebat ini, menukarkan kawasan semak samun kepada kebun tanaman pisang.

“Ianya bukan suatu yang mudah memandangkan kawasan yang diusahakan sangat luas iaitu kira-kira lapan ekar, dan setiap pekebun mengusahan satu ekar seorang," ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penyampaian alatan bantuan berkenaan di kawasan kebun pisang yang diusahakan di Kampung Tanjung Sabtu.

Ridzuan turut mengharapkan agar warga belia khususnya melibatkan diri dalam bidang pertanian sebegini agar dapat mengurangkan pergantungan kepada warga asing di samping dapat menambahkan pendapatan seharian.

“Semoga usaha begini dapat diikuti dan menjadi contoh kepada MPKK lain agar dapat memanfaatkan tanah terbiar sekali gus menambahkan pendapatan," katanya.