Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Pekerja Pusat Cuci Kereta Tidak Diabaikan
KEMAMAN, 3 Februari - Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan banyak pihak terjejas pendapatan. Oleh yang demikian, lebih 100 pekerja pusat cuci kereta di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai telah menerima sumbangan wang tunai, beras dan topeng muka, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk membantu meringankan beban yang sedang dihadapi oleh kebanyakan pihak yang terkesan akibat daripada PKP yang dilaksanakan itu.
"Pusat cuci kereta antara yang tidak dibenarkan beroperasi ketika ini. Sudah tentu mereka yang bekerja di sana kehilangan sumber pendapatan buat sementara waktu.
"Jadi kami memberikan sumbangan kepada mereka bagi meringankan bebanan yang dihadapi," ujarnya.
Program tersebut berlangsung dengan suasana meriah di mana mereka yang hadir menerima bantuan secara pandu lalu di pekarangan Pejabat ADUN Chukai.
Hanafiah memaklumkan, pihaknya telah menyasarkan beberapa golongan yang perlu diberikan bantuan seperti ini.
"Namun begitu, ia akan diadakan secara berperingkat mengikut kesesuaian keadaan, masa dan sebagainya," katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.