Sebatan Syariah: Permulaan Terengganu Mendaulatkan Perundangan Islam
Dr Azman Ibrahim meninjau Jeti LKIM Marang. |
Oleh: Aziz Hambali
MARANG - Kerajaan negeri tampil dengan pelbagai solusi bagi membantu mereka yang terlibat dengan industri perikanan agar lebih berdaya saing.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri mengutamakan pembangunan dalam sektor tersebut.
Katanya, antara pemasalahan yang bakal dibantu adalah berkaitan bilik sejuk beku untuk simpanan ikan, tempat untuk membaiki bot, muara di sekitar Marang yang cetek dan isu keselamatan enjin bot ‘fiber’.
Beliau berkata, tindakan segera akan diambil bagi meningkatkan isu-su berkait dengan keselamatan di jeti Marang.
“Ianya ekoran berlaku beberapa kecurian enjin bot sebelum ini….kita merancang untuk memasang rakaman litar tertutup (CCTV).
"Berkenaan dengan tempat simpanan enjin bot, stor perlu dibuat supaya nelayan yang balik dari laut dapat menyimpan enjin bot mereka di tempat yang selamat", ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas membuat Lawatan Kerja di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang, di sini, semalam Khamis, 16 Ogos.
Turut hadir, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmud.
Beliau memaklumkan, nelayan di daerah itu juga, bakal menikmati bengkel membaiki bot yang bakal dibina memandangkan premis tersebut yang terhad buat masa ini.
"Kita kira merugikan dan menyusahkan lantaran nelayan di sini terpaksa pergi jauh ke Pulau Duyong untuk membaiki kerosakan bot.
"Sekadar satu bengkel yang ringkas dengan kos hanya sekitar RM20,000, dijangka dapat memenuhi keperluan nelayan di Jeti Marang yang hanya menguruskan bot-bot bersaiz besar.
"Isu berkaitan bilik sejuk pula, saya difahamkan Persatuan Nelayan telah mengemukakan cadangan berkaitan pembinaan bilik sejuk ini kepada LKIM.
"Kita akan masukkan perkara tersebut dalam cadangan bajet tahun 2019," tambahnya.
Menurutnya, kerajaan mengambil serius segala permasalahan yang timbul dan berjanji akan menyusun setiap cadangan dan penyelesaian, supaya dapat dilaksanakan secara berperingkat.