Pembawaan Politik Kuno Pecah Belah Masyarakat

KUALA TERENGGANU, 24 April - Segelintir pihak telah mencuba membawa kembali idea politik kuno yang menggalakkan pecah belah dan kekacauan dalam pentadbiran masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, tindakan itu disifatkan sebagai langkah mundur dalam pembangunan politik negara.

"Sekarang bukan lagi Terengganu zaman 80-90 an, di mana perpecahan berlaku dalam masyarakat kerana parti berbeza, ada yang ditarik 
bantuan, ada ditukar kerja dan ada dipulau kerana warna politik berbeza. 

"Politik anak muda pada hari ini tidak lagi melihat parti dan ideologi parti di depan. 

"Yang penting bagi mereka adalah politik idea dan ahli politik yang ikhlas menabur bakti untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, pada semalam.

Katanya, ketika rakyat masih bergelut dengan cabaran ekonomi dan sosial, pemimpin tidak boleh membiarkan politik menjadi permainan bagi golongan yang hanya mementingkan diri sendiri.

"Cukup-cukuplah permainan politik dan nasib rakyat negeri ini ditentukan oleh pemimpin yang pentingkan diri.

"Biarlah nasib politik kita ditentukan oleh kita sendiri, berpolitiklah secara fastabiqul khairat, iaitu berlumba-lumba untuk memberi kebaikan kepada rakyat jelata, bukan berpolitik secara balas dendam. 

"Duli Yang Maha Mulia tuanku telah menyatakan berkenaan cabaran ekonomi yang semakin rencam pada tahun ini disebabkan oleh ketidaktentuan pasaran dan geopolitik global. 

"Antara saranan yang telah diberikan oleh Tuanku adalah jalinan kerjasama bersama kerajaan dan agensi persekutuan dalam negara.

Namun katanya, pimpinan tertinggi kerajaan Madani pada hari ini bukan seumpama kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, 
tempat berlindung kehujanan tapi mereka adalah pemimpin yang enggan berbagi, sama saja ingin menang sendiri. 

"Bila egoisme tak diakhiri, pasti ditutup dengan pecah kongsi," tambahnya.


Tag: