Pembedahan Katarak Secara Percuma Di Hospital Kemaman


Seramai 100 pesakit katarak dari seluruh Kemaman menerima rawatan pembedahan secara percuma di Hospital Kemaman sepanjang tiga yang berakhir semalam.
Pengarah Hospital Kemaman, Amran Japar berkata, pembedahan dalam program kem katarak bermula 3 November lalu dapat membantu pesakit katarak yang tidak berkemampuan untuk mendapat rawatan secara percuma.
"Program Kem Katarak peringkat Hospital Kemaman ini adalah kesinambungan daripada program Hari Penglihatan Sedunia hari ini.
"Melalui kem ini dianggarkan seramai 100 pesakit katarak dari seluruh Daerah Kemaman akan mendapat manfaat daripadanya dan memberi peluang cerah untuk memulihkan penglihatan mereka kembali.
"Selain itu, pesakit katarak yang hadir pada hari ini disaringkan untuk menjalani pembedahan semasa kem katarak berlangsung dan hanya 70 orang pesakit sahaja yang lulus ujian pra-pembedahan," katanya sempena Hari Penglihatan Sedunia peringkat Hospital Kemaman 2017 di Dewan Ibnu Sinar, Hospital Kemaman.
Turut hadir, Pakar Otftalmologi Hospital Kemaman, Norfarizal Ashikin Abdullah.


Amran berkata, kos bagi pembedahan beserta kanta biasa dibayar oleh pesakit kira-kira RM500 hingga RM800 dan mampu menampung seramai 70 pesakit katarak.
"Sekarang ini pihak hospital berjaya menyelesaikan 40 pesakit dan kini hanya tinggal lagi 30 pesakit yang akan diselesaikan dalam masa tiga bulan akan datang.
"Tempoh untuk pesakit menunggu kira-kira enam bulan hingga satu tahun untuk membuat pembedahan,"katanya.
Menurut Norfarizal pula, bantuan kanta secara percuma itu akan diberikan melalui Bank Kanta Intraokular Kebangsaan kepada pesakit yang kurang berkemampuan.
"Diharapkan dengan adanya Program Kem Katarak ini jumlah pesakit yang menunggu untuk menjalani pembedahan di hospital dapat dikurangkan dan seterusnya memberi harapan baru kepada mereka untuk mendapat penglihatan yang baik daripada hasil program ini.
"Tidak lupa juga terima kasih kepada Jabatan Otftalmologi Hosptial Sultan Nur Zahirah, Jabatan Anaestesiologi Hospital Kemaman dan Jabatan Otftalmologi Hospital Tengku Ampuan Afzan atas kerjasama dalam membantu Program Kem Katarak ini," katanya.

Tag: