Pegawai Syariah Malaysia Sokong Terengganu Sebat Pesalah Khalwat di Masjid
Pembuatan Bot Tradisional Pulau Duyong Akan Kembali Bersinar
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri memberi jaminan perusahaan pembuatan bot tradisional di Pulau Duyong akan kembali bersinar.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, usaha membangunkan semula perusahaan warisan itu akan dibuat melalui pelan penyelarasan kolaborasi produk-produk pelancongan pesisir sungai Terengganu.
"Termasuklah Shah Bandar, Pesisir Payang, Seberang Takir, Pulau Duyong, Pulau Warisan, Kampung Budaya Terengganu, Taman Tamadun Islam dan lain-lain.
"Bagi memartabatkan industri pembuatan bot tradisional di negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid, pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ariffin berkata kerajaan negeri turut mempunyai perancangan untuk menyediakan latihan dan kursus bagi pembuatan bot tradisional bagi memastikan lebih ramai yang akan terlibat dalam industri terbabit.
Katanya, kerajaan negeri juga turut merancang untuk berkerjasama dengan Jabatan dan Kementerian Pelancongan serta Malaysian Timber Industry Board (MTIB) bagi penyediaan latihan serta kursus-kursus yang berkaitan pembuatan bot tradisional.
"Buat masa ini kerajaan negeri telah menyediakan latihan ukiran kayu di Desa Ukiran Kayu, Besut.
"Bagi Tabung Pusingan Modal, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) ada menawarkan skim pembiayaan tanapa riba di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) dengan had maksima sebanyak RM50,000 tertakluk kepada terma dan syarat.
"Antara skim pembiayaan dan perniagaan yang boleh dipohon termasuklah Sektor Warisan (Pembuatan Bot Tradisional)," katanya.