Pembuatan, Permainan Wau Perlu Dipelihara

Oleh : Adli & Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Tradisi permainan wau di Malaysia terutamanya di negeri ini perlu dikekalkan supaya seni budaya masyarakat melayu itu tidak pupus ditelan zaman.

Pembuat Wau, Zakaria Abdullah, 53, berkata, perkara itu penting untuk bagi memastikan generasi akan datang terus mengenali warisan orang-orang terdahulu.

"Kalau kita lihat, generasi muda pada masa kini tidak lagi berminat untuk menghasilkan wau, sehingga di kampung-kampung permainan tradisi ini tidak lagi dimainkan seperti dahulu.

"Jadi, kena ada yang meneruskan serta memperjuangkannya, malah jika ia diusahakan serta dipelajari dengan penuh minat ia boleh dijadikan punca pendapatan dengan mana setiap wau ini mempunyai nilaian yang tinggi di pasaran," ujarnya. 

Zakaria berkata demikian ketika ditemui pihak media, di Kampung Teluk Paku, Wakaf Mempelam di sini semalam.

Mengulas lanjut, Zakaria bagaimanapun berkata, kerja penghasilan wau yang dia lakukan itu bukanlah untuk dijadikan punca pendapatan sebaliknya ia lahir atas perasaan cinta terhadap warisan nenek moyang.

 "Oleh itu, saya sanggup memperturunkan segala kemahiran pembuatan wau yang dimiliki ini kepada generasi masa kini sekiranya ada yang berminat.

"Namun mereka perlu mempunyai kesabaran, ketekunan serta ketelitian yang tinggi kerana untuk menghasilkan setiap wau ia  memerlukan masa antara dua sehingga tiga hari tetapi bergantung kepada jenis wau.

"Juga perlu menghadapi cabaran kerana perlu masuk ke hutan bagi mencari buluh," ujarnya.

Katanya lagi, kemahiran yang dia miliki itu diwarisi daripada keluarganya sejak 30 tahun yang lalu.

"Saya mahir  dalam menghasilkan Wau Helang, Wau Jalabudi, Wau Kucing dan juga Wau Bulan.

"Apa yang perlu diketahui setiap daerah serta kampung mempunyai sedikit perbezaan pada setiap bentuk dan ciri-ciri wau ini walaupun namanya tetap sama.

"Sekarang saya berusaha untuk memperkenalkan wau ini kepada anak-anak muda di kampung ini, sepatutnya dalam masa terdekat ini ada pertandingan tetapi tidak boleh dteruskan kerana pandemik Covid-19 masih lagi belum berakhir.

"Dengan harapan agar generasi masa kini mengenali dan menghargai seni warisan yang kita ada bagi sekali gus mampu memupuk perasaan cinta dan bangga khazanah yang kita milikinya," ujarnya.

 

 

 


Tag: