TM Kongsi Keuntungan Melalui Program Cahaya Ramadan
KUALA TERENGGANU, 27 Mac – Telekom Malaysia (TM) dan Yayasan Telekom Malaysia meneruskan inisiatif berkongsi hasil keuntungan dengan membantu 125 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam melalui program Cahaya Ramadan yang berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam, hari ini.
Dalam program tersebut, setiap penduduk menerima sumbangan berupa satu kotak makanan serta zakat wakalah berjumlah RM200.
Pengurus Besar Perniagaan Wilayah Timur TM, Maliki Harun berkata, sumbangan tersebut bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
"Kita berharap sumbangan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada penerima, bukan sahaja untuk menyambut Syawal tetapi juga untuk meneruskan kehidupan harian mereka dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tambah beliau, selain DUN Wakaf Mempelam, DUN Kota Putera turut terpilih sebagai penerima sumbangan zakat TM pada tahun ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada TM atas inisiatif yang dijalankan bagi membantu golongan yang memerlukan.
"Saya amat berterima kasih kepada TM yang terus komited membantu rakyat di DUN Wakaf Mempelam. Tahun lepas, seramai 100 orang menerima sumbangan zakat daripada TM, dan tahun ini jumlah penerima bertambah kepada 125 orang. Semoga usaha ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu salah seorang penerima, Afzan Mohamad, 40, seorang suri rumah dari Kampung Wakaf Mempelam yang mempunyai enam orang anak, menyatakan rasa terharu dan bersyukur atas sumbangan yang diberikan.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada TM dan semua yang terlibat. Sumbangan ini sangat membantu dalam meringankan beban kami sekeluarga, terutama dalam menyediakan keperluan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Beliau juga menyatakan persiapan Hari Raya tahun ini dibuat secara sederhana, sekadar berbelanja untuk menggembirakan anak-anak.
Siti Ani Mamat dari Kampung Pak Bang pula menyifatkan sumbangan berkenaan amat bermakna buat keluarganya.
"Suami saya diuji dengan penyakit strok sejak dua tahun lalu, dan keadaan kewangan kami memang terjejas. Saya sendiri tidak bekerja kerana perlu menjaga suami.
"Alhamdulillah, dengan sumbangan ini, bolehlah kami menambah bekalan makanan dan membeli kelengkapan raya untuk anak-anak,” ujarnya.