Kak Da Kongsi Rezeki Melalui Program Ladang Sejahtera

Oleh: Mohamad Farhan Anam

KUALA TERENGGANU, 28 Mac — Dalam usaha berterusan membantu golongan yang memerlukan, Program Ladang Sejahtera #KakDaCakna edisi Aidilfitri telah diadakan bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima yang layak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, program ini merupakan inisiatif bulanan yang dilaksanakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ladang sendiri.

"Alhamdulillah, ada rezeki kita kongsi. Syukur sebenarnya, kita dapat menyumbang, bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah bulan lain juga," katanya.

Beliau turut mengajak masyarakat untuk sama-sama memperbanyakkan amalan kebaikan di penghujung Ramadan ini.

"Minggu terakhir Ramadan ini, marilah kita manfaatkan sebaik mungkin untuk melipatgandakan ibadah dan amalan kebajikan sebagai bekalan akhirat," tambahnya.

Program ini diharapkan dapat meringankan beban penerima menjelang Syawal serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.


Tag: