Sultan Terengganu Kurnia Darjah Kebesaran Kepada 130 Individu
Pemergian Tun Abdullah: Terengganu Sanjung Pemimpin Berjiwa Tenang
KUALA TERENGGANU, 15 April – Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini menzahirkan penghormatan tertinggi atas pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri kelima yang dikenang sebagai pemimpin berjiwa sederhana dan penuh integriti.
Ucapan takziah disampaikan dalam suasana penuh hiba di Wisma Darul Iman, memperingati jasa besar Allahyarham kepada negara dan negeri Terengganu.
Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara.
"Saya mewakili seluruh warga Dewan Undangan Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya dalam ucapan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Beliau menggambarkan Allahyarham sebagai pemimpin berjiwa tenang, rendah hati dan berpegang pada prinsip amanah serta kesederhanaan sepanjang memimpin negara dari tahun 2003 hingga 2009.
"Beliau dikenali sebagai pemimpin berjiwa tenang, merendah diri serta menekankan prinsip integriti, kesederhanaan dan amanah dalam pentadbiran negara," ujar beliau.
Mohd Nor turut mengiktiraf sumbangan Allahyarham dalam memperkukuh hubungan Persekutuan dan negeri, khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur dan pendidikan di Terengganu.
"Kepimpinan beliau turut meninggalkan kesan signifikan kepada negeri Terengganu, termasuk dalam memperkukuh hubungan Persekutuan dan negeri," jelasnya.
Tambah beliau, Allahyarham juga berjasa dalam memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam dan menekankan ketelusan dalam pentadbiran.
"Sumbangan Allahyarham dalam memperluas dialog antara rakyat dan kerajaan serta ketelusan urus tadbir memberi manfaat besar kepada rakyat," kata beliau.
Sebagai penutup, beliau menyeru seluruh dewan untuk mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.
"Marilah kita mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin," katanya sebelum memohon semua berdiri bagi menghormati pemergian tokoh negarawan itu.