Pemerhati Orang Asli Curi Tumpuan Pembentangan Belanjawan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kehadiran 37 pemerhati dari kalangan komuniti orang asli Kampung Sungai Pergam, Kemaman mencuri tumpuan dalam Pembentangan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan, kehadiran delegasi berkenaan adalah hasil undangan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Asalnya pada bulan Oktober lalu, program Terengganu Volunteers (T-VOLT) turun ke perkampungan orang asli Sungai Pergam dan hasil daripada kunjungan kita menerusi program sukan serta kebajikan di sana, warga penduduk ada sebut tidak pernah sampai di Wisma Darul Iman.
"Jadi saya panjangkan hasrat mereka kepada pihak Dato' Seri Menteri Besar dan YAB kata sedang molek kita undang sempena pembentangan Belanjawan kali ini.
"Mereka datang dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman, lebih kepada untuk merapatkan hubungan antara orang asli dengan pimpinan utama kerajaan negeri dan pada kita ini satu perkembangan yang baik.
"Kita sangat bersyukur dengan keharmonian antara pelbagai lapisan masyarakat dan penduduk Negeri Terengganu ini," katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu, Tok Batin Komuniti Orang Asli Kampung Sungai Pergam, Roslan Semail menyifatkan, kehadiran kali pertama ke Wisma Darul Iman merupakan pengalaman yang baik buat anak-anak buahnya.
"Ke wisma ini kali pertamalah, memang kita sangat terharulah dengan anak buah kita seramai lebih kurang 40 orang ke sini untuk menyaksikan pembentangan Bajet bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ini.
"Kalau boleh (selepas ini) begitulah, kerajaan negeri ambil cakna dengan masyarakat orang asli.
"Kita ada empat kampung di Terengganu iaitu Kampung Sungai Sayap, Kg Sungai Berua, Kg Sungai Pergam dan Kg Keruak," katanya.
Sebagai rekod, Kg Keruak di Besut dihuni oleh suku Bateq, manakala di Sungai Sayap dan Sungai Berua, Hulu Terengganu dihuni suku Bateq dan Semoq Beri.
Kg Pergam di Kemaman pula dihuni tiga suku kaum iaitu Bateq, Jakun dan Semoq Beri.