SETIU, 22 September - Penduduk Pulau Redang menerima khabar gembira apabila Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) di pulau berkenaan dijangka diserahkan kepada pemilik-pemiliknya, November ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed dalam lawatan pra penyerahan ke RPMM berkenaan, baru-baru ini berkata, projek kediaman rakyat yang menelan belanja RM28.5 juta itu siap sepenuhnya dalam beberapa minggu lagi.
"Hari ini kita melawat RPMM Pulau Redang yang dimulakan sejak 2012 yang telah siap sebanyak 99.90 peratus. Kini, tinggal bakinya hanya 0.01 peratus sahaja bagi memenuhi syarat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan insya-Allah dalam beberapa minggu lagi kita akan selesai semuanya.
"Bangunan yang dibina ada empat blok dan setiap bloknya ada 40 unit dan keseluruhan sebanyak 160 unit. Ini adalah projek yang dinanti-nantikan penduduk Pulau Redang ini, insya-Allah hasrat mereka akan tercapai.
"Kita jangkakan kerajaan negeri boleh menyerahkan kunci kepada para pemilik dalam awal November ini," katanya.
Turut hadir, Ketua Pengawai Operasi Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Azmal Azaddin, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Perumahan), Nor Sophia Azura Mohd Husin dan wakil-wakil jabatan berkaitan.
Jelas Ahmad Shah lagi, kerajaan negeri sentiasa mengambil perhatian tentang perkara tersebut kerana rumah adalah satu keperluan mendesak kepada rakyat.
"Sebab itu, ketika kita mengambil alih pentadbiran negeri kita melihat mana-mana projek yang boleh dibaik pulih secepat mungkin untuk diberi rakyat, kita akan percepatkan dan ini salah satu buktinya," katanya.
Dalam pada itu, Azmal turut memaklumkan baki proses yang belum siap hanyalah dari segi permohonan dan penilaian CCC.
"Hari ini, kita hendak tahu apa lagi yang diperlukan untuk memperoleh CCC, kita sudah mengenal pasti masalah yang ada dan kita jangkakan selewat-lewatnya bulan Oktober ini akan selesai dan kita akan buat penyerahan selepas itu," katanya.
Berdasarkan data terbaru, sebanyak 1,657 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di Terengganu telah diagihkan kepada penerima. Manakala, sebanyak 9,776 unit RMM sedang giat dibangunkan di seluruh negeri.