• 07 Nov 2024 | 05 Jamadil Awal 1446

Pemimpin Bertukar, Projek Dibatal, Rakyat Merana

KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya menamatkan budaya pembatalan projek yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.

Naib Presiden PAS itu berkata, langkah itu dijayakan beliau bagi mengelakkan rakyat di bawah terus merana akibat pertikaian politik yang tiada kesudahan.

“Pada Mei 2018, malam sebelum mengangkat sumpah saya telah ditanyakan oleh wartawan tentang apa yang saya nak buat dan pendekatan yang ingin dilaksanakan.

“Saya tekankan dua perkara iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera serta Politik Kasih Sayang. Ia memberi gambaran bahawa segala program, projek dan inisiatif yang dibuat kerajaan sebelum ini, mana yang elok kita perbaiki. Mana yang buruk kita tamatkan dan tidak mencari kesalahan orang lain,” kata beliau di Facebook rasminya hari ini.

Menurut beliau, di era pentadbiran sebelum ini, jika seorang pemimpin bertukar, inisiatif atau projek tertentu akan dihentikan.

Katanya, apabila perkara itu berlaku, maka projek dan program yang dibuat oleh orang lain tidak ada penerusan dan akan menjadi gajah putih.

“Naik orang lain jadi Menteri Besar walaupun dari parti yang sama, (projek) tidak diteruskan kerana dia kata itu legasi orang lain, bukan dia punya. Dia nak ada yang sendiri.

“Politik sebegini berlaku di peringkat atas, rakyat di bawah semakin tertekan, perbalahan menebal. Maka politik jadi alat untuk berseteru dalam masyarakat.

“Maka kita menekankan Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Sebab itu kita betulkan projek-program bermasalah, menyelesaikan projek terbengkalai dan memulihkan projek yang rosak teruk seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh dan pengoperasian Hotel Paya Bunga,” tambahnya.


Tag: