Pemuda dan Puteri UMNO perlu lebih menguasai perang siber berbanding pembangkang bagi menangkis dan menyerang balas fitnah yang dilakukan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini sangat penting dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang kerana media sosial menjadi medium utama dalam penyampaian maklumat serta untuk melancarkan serang balas setiap fitnah dilontarkan pembangkang.
"Dalam dua pilihan raya lepas saya nampak pembangkang lebih ke depan dari segi kuasai perang siber berbanding kita...sebab Pemuda dan Puteri harus memjuarai perang siber.
"Kini orang muda lebih bergantung untuk mendapatkan maklumat daripada media sosial dan jentera Pemuda dan Puteri UMNO harus kuasainya dan mendahului pembangkang.
"Fitnah pembangkang di media sosial kalau tidak digempur maka akan menjadi persepsi baru kepada orang muda,"kata Ismail Sabri.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Dewan Akademi Binaan Malaysia di Jenagor, Hulu Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian, Dato'Jailani Johari; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Dato' Rozi Mamat; Naib Ketua UMNO Bahagian, Yusof Awang Hitam; Ketua Penerangan UMNO Bahagian,Ghazali Taib; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Fatimah Hamat; Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Johari Abu Bakar dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Rozita Ismail.
Menurut Ismail Sabri lagi, sebagai pemimpin,kita mesti mempertahankan serangan dan pada masa sama perlu jadi macam mereka dengan mendedahkan segala kepincangan mereka kerana pembangkang juga tetap ada kelemahan.
"Dedahkan keburukan dan kepincangan pihak pembangkang, pertahankan dan lakukan serang balas supaya rakyat tidak terus terpengaruh dengan fitnah dilemparkan pembangkang,"katanya.