Pendapatan TDM Terengganu Suku Pertama RM104.8 Juta


KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Kumpulan TDM Berhad (TDM) merekodkan pendapatan sebanyak RM104.8 juta bagi suku tahun pertama yang berakhir 31 Mac lalu.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) yang diselaraskan adalah RM17.3 juta, berbanding RM28.3 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Pengerusi TDM, YM Raja Dato' Idris Raja Kamarudin berkata, pendapatan TDM bagi tiga bulan pertama berakhir 31 Mac 2019 menurun sebanyak 10 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya disebabkan oleh pengeluaran tanaman yang lebih rendah dan hasil jualan kelapa sawit di bahagian perladangan.

“Walau bagaimanapun, ini sebahagiannya diimbangi dengan hasil penjagaan kesihatan yang lebih tinggi dengan peningkatan sebanyak 14 peratus.

“Kami menjangkakan pemulihan akan dibantu dengan pertumbuhan keluaran tanaman yang perlahan antara 2019 hingga 2020 daripada penanaman semula di Malaysia dan kawasan matang yang lebih rendah di Indonesia.

“Sepanjang beberapa bulan yang lalu, kami telah menjalankan kajian serta memeriksa operasi dan mengenal pasti pelan untuk memfokuskan semula operasi melalui Rancangan Penciptaan Nilai (VCP) memaksimumkan pengeluaran tandan buah segar (FFB) dan minyak sawit mentah (MSM),” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TDM Berhad Kali Ke-54 di Primula Beach Hotel, semalam.


Katanya, Kumpulan optimis terhadap asas-asas jangka panjang industri dan akan memberi fokus dalam meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran.

Sementara itu, Idris berkata, Bahagian Penjagaan Kesihatan terus menunjukkan prestasi yang kukuh pada suku pertama tahun 2019 dengan pendapatan meningkat sebanyak 14 peratus kepada RM58.1 juta berbanding RM51.1 juta pada tempoh yang sama tahun lepas yang didorong oleh bilangan pesakit dan pesakit luar yang lebih tinggi, masing-masing sebanyak 11 peratus dan 5 peratus.

“Pelarasan Ebitda di penjagaan kesihatan berkembang sebanyak 12 peratus berbanding suku sebelumnya,” ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya yakin pertumbuhan Bahagian Penjagaan Kesihatan akan disokong oleh VCP dalam meningkatkan 'margin' dan pengenalan modaliti perkhidmatan baharu yang merangkumi pelaksanaan sistem EMR di seluruh kemudahan perubatan bersama dengan pengenalan aplikasi mudah alih untuk kemudahan yang lebih mudah, akses kepada data dan jangkauan pelanggan.

Katanya, di bahagian penjagaan kesihatan, Pusat Kecemerlangan (COE) akan diwujudkan di setiap hospital selain menyediakan penjagaan kesihatan yang komprehensif dengan memperkenalkan pelbagai perkhidmatan baru seperti penjagaan mata (di KTS), perkhidmatan endovascular (di TDMC) dan perkhidmatan angioplasty (di KMC).


Tag: