Pengorbanan Seorang Guru Bantu Pelajar OKU Raih Emas
MARANG, 28 September - Pengorbanan seorang demi melihat anak didiknya yang juga pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) berjaya dalam sukan lompat jauh berhasil setelah muridnya memperolehi emas peringkat negeri baru-baru ini.
Guru Pendikan Khas Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Wan Husni Wan Abdullah, 36, berkata Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sekolah Sukan Negeri Terengganu yang diadakan pada 21-23 Ogos baru-baru ini telah menjadi bukti bahawa Muhammad Ashreil Mikhail Zawawi mampu meraih kejayaan cemerlang.
Dengan memperolehi satu pingat emas dalam acara lompat jauh BPL 12 (Masalah pembelajaran lelaki bawah 12 tahun) Muhammad Ashreil juga berjaya memecahkan rekod baru kejohanan.
"Saya berusaha mencari sumbangan untuk kos makan minum, serbuk protein dan telur dan dia juga banyak juga guna duit sendiri.
"Persediaan di peringkat kebangsaan pada tujuh sehingga 11 Oktober ini di Stadium Ipoh, Perak juga memerlukan kos kira-kira RM600, hanya untuk Ashreil seorang," ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.
Katanya demi melihat kejayaan anak muridnya itu beliau telah menghabiskan RM1,400 untuk menampung empat orang pelajar bermula dari tahun lepas bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Peringkat Daerah dan Negeri, namun hanya Ashreil seorang sahaja yang berjaya ke peringkat kebangsaan.
Jelasnya, ia termasuk belanja untuk membeli kasut khas untuk larian, makanan tambahan, ubat-ubatan serta alatan yang lain.
"Saya nak ucap terima kasih kepada YB Ustaz Sulaiman Sulong (ADUN Pengkalan Berangan) sebab sudi memberi sumbangan kepada Ashreil.
"Besar harapan saya agar Ashreil menang emas dalam lompat jauh, di peringkat kebangsaan dan semoga dia terpilih ke sekolah sukan khas yang akan dibuka di Nilai, Negeri Sembilan melalui panel pemilih," katanya merujuk kepada penyerahan sumbangan olahraga pendidikan khas kepada Ashreil di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Pengkalan Berangan baru-baru ini.